Pages

Subscribe:

Followers

28 October 2011

Hafiz Hamidun - Pelopor teknologi Irama Nasyid


Suatu masa dahulu, bekas anggota kumpulan UNIC ini, pernah mencuri tumpuan ramai dengan kelunakan suaranya menyanyikan lagu ketuhanan. Namun, perjuangannya bersama UNIC tidak bertahan lama, apabila kontrak tamat pada tahun 2006. Tidak terhenti di situ, Hafiz Hamidun atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 27, terus memperjuangkan irama nasyid biarpun terpaksa bergerak secara solo.

Tidak memberi tumpuan kepada nyanyian semata-mata, Hafiz, mengembangkan kariernya sebagai pengacara, komposer dan penerbit. Malah kerjasama dengan rakan karibnya, Firdaus Zamri menerbitkan radio nasyid online pertama, NasyidFM, sejak November 2006 semakin diterima pendengar.

"Alhamdulillah, radio ini semakin dikenali. Kalau sebelum ini, lagu nasyid jarang mendapat tempat, dengan adanya NasyidFM, ia dapat menjadi wadah alternatif buat pejuang nasyid dan peminat irama lagu ini," katanya yang bertindak sebagai penasihat untuk radio itu.

Menurut Hafiz, kemunculan NasyidFM bukan untuk bersaing dengan mana-mana radio apatah lagi radio islamik negara, IKIM. Namun, ia juga sebahagian daripada usaha mereka untuk berdakwah.

“NasyidFM bukanlah berdiri atas dasar mencari keuntungan tetapi sebagai medium penyiaran dakwah 24 jam. Ia tidak terhad untuk lagu-lagu nasyid saja. NasyidFM turut menyediakan ceramah-ceramah dan juga pengisian ilmiah. 

DENGARKAN di : www.nasyidfm.com.my
“Pada saya, NasyidFM merupakan medium paling sesuai untuk pendengar mendapatkan input berguna. Sekurang-kurangnya, dengan adanya NasyidFM, ia dapat membantu menaikkan industri muzik nasyid dan wadah dakwah khususnya.

"Lebih istimewa, radio ini boleh diakses melalui telefon bimbit," kata Hafiz.

Dalam pada itu, Hafiz turut berbangga apabila mudah bekerjasama dengan NasyidFM dalam urusan mempromosikan lagu dan albumnya. Bagi Hafiz, ia juga dapat membantu penggiat nasyid lain secara keseluruhannya.
Jelas Hafiz, dengan adanya kerjasama dari NasyidFM, ia dapat mengembalikan kegemilangan industri muzik nasyid selain berdakwah kepada masyarakat. Malah ia juga menjadi platform bagi pejuang nasyid dan lagu ketuhanan untuk mengetengahkan karya mereka.

Tumpu pada syarikat

Memiliki syarikat produksi sendiri, Arteffects Sdn Bhd, Hafiz bersyukur kerana rezeki semakin berpihak kepadanya. Baginya, selagi ada peluang terbuka luas untuk mengembangkan bakat, selagi itulah dia akan menggunakannya dengan baik. Dengan matlamat ingin mencari kebahagiaan dunia akhirat, anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini, berharap agar perjuangannya diberkati ALLAH SWT

“Saya melihat setiap peluang yang ada. Setiap anugerah Allah boleh diperkembangkan sekiranya ada cara yang betul dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas.

"Sejujurnya, dulu saya rasa saya tidak boleh bergerak sendiri, tapi sekarang saya lebih yakin dengan adanya Artefects. Menerusi syarikat ini, saya bebas berkarya," katanya yang turut mempunyai studio sendiri.

Menurut Hafiz, syarikatnya itu turut menjadi platform kepada bakat-bakat baru. Antara artis yang pernah bernaung di bawah syarikatnya, ialah, Ezad Mahadi (Mirwana), Fitri UNIC, Nur One dan ramai lagi.

Selain sibuk menguruskan bakat baru, Hafiz juga kini sedang dalam proses mempersiapkan album ketiganya.

“Dalam album ini, sepuluh lagu zikir dimuatkan. Kali ini saya mahu beri kelainan dan anggap ia sebagai hadiah kepada peminat yang ingin mencari kedamaian rohani dengan alunan zikir.

“Ada perkara menakjubkan dalam proses projek terbaru ini kerana saya seperti mendapat petunjuk dari Tuhan. Ilham mencipta lirik dan menyusun semula koleksi zikir dilakukan dengan begitu mudah. Dalam masa sehari, saya boleh siapkan satu lagu.

“Jika benar ia adalah petunjuk dari-Nya, Alhamdulillah saya bersyukur. Itu tandanya perjuangan saya adalah berada di landasan yang benar,” katanya yang mempunyai empat pekerja bagi membantu urusan Arteffects Sdn Bhd.

Mahu jaga imej

Sudah menjadi lumrah apabila bergelar selebriti, pasti ada saja gosip dan kontroversi yang menghimpit. Begitu juga dengan, Hafiz yang pernah kecewa apabila berdepan dengan pelbagai dugaan.

“Memang tidak dinafikan, bukan mudah untuk mengelak daripada menjadi mangsa kontroversi, walaupun kita berhati-hati.

“Pada saya, itu semua ujian. Jika mahu selamat, jangan dilayan dan kebenaran pasti akan terungkap akhirnya.

“Apa yang penting, sekarang saya mahu menjaga imej dan nama baik saya sebagai seorang Muslim di samping terus memperjuangkan agama dan bangsa," jelas pengacara, Tilawah Interaktif, di RTM ini.

Hafiz yang sebelum ini pernah digosipkan dengan, Linda Onn dan Heliza Helmi, bagaimanapun masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Menurut Hafiz, dia masih belum bertemu dengan calon sesuai dan kini mahu fokus pada kariernya.

Hafiz mula berkecimpung dalam bidang seni suara sejak berusia 5 tahun. Aktiviti seninya mula menyerlah sejak di bangku sekolah lagi. Malah, bakatnya semakin dipercayai apabila menjadi pengarah muzik bagi beberapa filem dan drama televisyen.


sumber : SINAR HARIAN - 28/10/2011